Setakat yang saya ketahui, sarjana-sarjana
Islam telahpun melakukan kajian yang bukan sedikit mengenai siapakah
Zulkarnain yang disebut di dalam Al-Qur’an, siapakah kaum Yakjuj dan
Makjuj dan di manakah pula letaknya Tembok Zulkarnain. Dalam artikel ini
saya akan mencatat beberapa perkara yang mungkin menarik minat anda.
SIAPA SEBENARNYA ZULKARNAIN?
Sebenarnya pendapat popular bahawa Zulkarnain adalah Iskandar Zulkarnain (Alexander The Great) telah dinafikan oleh ramai sarjana Islam kerana setelah dikaji latarbelakang Iskandar Zulkarnain, ternyata bahawa beliau bukanlah seorang yang berperibadi mulia sebagaimana Zulkarnain yang diberitakan di dalam Al-Qur’an. Atas sebab itu sarjana yang kemudian telah mengkaji lagi dan mencari siapakah sebenarnya Zulkarnain itu.
Sebenarnya pendapat popular bahawa Zulkarnain adalah Iskandar Zulkarnain (Alexander The Great) telah dinafikan oleh ramai sarjana Islam kerana setelah dikaji latarbelakang Iskandar Zulkarnain, ternyata bahawa beliau bukanlah seorang yang berperibadi mulia sebagaimana Zulkarnain yang diberitakan di dalam Al-Qur’an. Atas sebab itu sarjana yang kemudian telah mengkaji lagi dan mencari siapakah sebenarnya Zulkarnain itu.
Wahab bin Munabbih berpendapat bahawa
Zulkarnain adalah seorang raja Yaman bernama As-Sha’ab Zulkarnain bin
Al-Harith Zu Murathid bin Amru Al-Hammal Zu Manah bin Aad Zu Syidad bin
Emir bin Al-Milthat bin Saksak bin Wail bin Himyar bin Saba’ bin Yusyiab
bin Yi’rab bin Qahtan bin Hud a.s. bin Emir bin Syalikh bin Arfafksyad
bin Sam bin Nuh a.s. Menarik juga kisah As-Sha’ab Zulkarnain ini kerana
baginda ini dikatakan hidup di zaman Nabi Musa a.s. dan satu lagi
perkara menarik ialah bahawa Nabi Khidir a.s. adalah menteri kanan
kepada As-Sha’ab dan Khidir a.s. telah mengikuti baginda bersama-sama
dalam siri pengembaraan baginda untuk menakluki negeri-negeri lain.
Malah Khidir a.s. dikatakan telah menghilangkan diri selepas As-Sha’ab
Zulkarnain mangkat.
Seorang lagi raja yang dikaitkan dengan
Zulkarnain ialah Kaurasyh Al-Ikhmini. Pendapat ini dikemukakan oleh Abul
Kalam Azad, bekas Menteri Pendidikan India. Beliau telah menyelidik
sejarah Parsi kuno dan menemukan seorang raja yang terbilang sejarahnya.
Kaurasyh dikenali oleh orang Greek sebagai Syrus, dan orang-orang
Yahudi menggelarnya sebagai Khauras. Selain dari merupakan raja yang
agung, Khaurasyh dikatakan bersifat adil, hubungan dengan rakyat jelata
adalah baik, dan menunjukkan sifat-sifat kemanusiaan yang mulia.
Jika mahu dicatat satu persatu berkaitan
tiga raja yang dikaitkan dengan Zulkarnain dalam Al-Qur’an itu akan jadi
amat panjanglah artikel ini. Memadailah untuk saya catat di sini
pendapat Muhammad Khair Ramadhan Yusuf yang telah mengkaji dengan
terperinci mengenai raja-raja berkaitan. Beliau berpendapat bahawa
adalah lebih baik untuk tidak mengaitkan salah satu dari tiga raja ini
sebagai Zulkarnain yang disebut di dalam Al-Qur’an. Adalah lebih baik
bagi kita menganggap bahawa Zulkarnain yang di sebut di dalam Al-Qur’an
itu sebagai seorang raja agung yang beriman, yang berperibadi mulia.
Saya sendiri pun bersetuju dengan beliau, kerana pendapat-pendapat ulama
berkaitan perkara tersebut adalah sekadar pendapat dan belum lagi
mencapai tahap pembuktian yang benar-benar kukuh. Mungkin pada satu hari
nanti ulama Islam akan menemui bukti siapakah Zulkarnain yang
dimaksudkan di dalam Al-Qur’an. InsyaAllah.
YAKJUJ DAN MAKJUJ DARI BERBAGAI SUMBER
Dari susut perkataan Yakjuj dan Makjuj, Imam
Al-Alusi, Ibnu Manzur dan Al-Hafiz Ibnu Hajar berpendapat bahawa
perkataan Yakjuj dan Makjuj berasal dari bahasa asing (bukan bahasa
Arab). Sesetengah ulama lain mengatakan ia berasal dari bahasa Arab.
Abul Kalam Azad pula menyatakan bahawa perkataan Yakjuj dan Makjuj
berasal daripada bahasa Ibrani, dan pada asalnya ia adalah bahasa asing.
Masyarakat Yunan menyebutnya sebagai Gog dan Magog.
Berbagai pendapat telah dikemukakan mengenai
asal-usul kaum Yakjuj dan Makjuj. Menurut Imam Al-Alusi, Wahab bin
Munabbih, dan ramai ulama termasuk pada masa kini, Yakjuj dan Makjuj
berasal dari kalangan anak-anak Yafith bin Nuh a.s. Al-Kisai menyatakan
dalam kitab Al-Ara’is bahawa Yafith ada lima anak iaitu Jumar, Banras,
Asyar, Askuwail dan Mayasheikh, dan Yakjuj dan Makjuj berasal dari
keturunan Asyar. Hadis dari Ibnu Abi Hatim dan Hakim melalui Abu
Hurairah menyatakan bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah dari keturunan
Yafith bin Nuh a.s. Sesetengah ulama berpendapat bahawa Yakjuj dan
Makjuj adalah dari keturunan Yafith iaitu bapa kepada bangsa Turki, dan
mereka menamakannya sebagai bangsa Turki kerana Yakjuj dan Makjuj itu
“terpisah atau tinggal” pada satu arah di belakang tembok. Ada juga yang
berpendapat bahawa Yakjuj berasal dari Turki sementara Makjuj pula
berasal dari Al-Gel dan Ad-Dailam.
Dari segi sifat Yakjuj dan Makjuj pula,
banyak pendapat yang berbeza-beza telah dikemukakan oleh para ulama.
Sebahagiannya dianggap terlalu aneh, pelik dan menyimpang dari realiti
dan telah dianggap sebagai dongeng Isra’iliyat. Para pengkaji percaya
bahawa Yakjuj dan Makjuj digambarkan oleh sebahagian ulama sedemikian
rupa semata-mata untuk menarik minat pembaca. Sepatutnya Yakjuj dan
Makjuj tidak digambarkan sewenangnya hingga boleh mendatangkan
kekeliruan kepada umat Islam. Ibnu Jarir ada meriwayatkan daripada Wahab
bin Munabbih secara terperinci mengenai kisah Zulkarnain dan pembinaan
tembok, tetapi tidak menyentuh mengenai sifat-sifat Yakjuj dan Makjuj.
Para pengkaji berpendapat bahawa hadis-hadis ganjil berkaitan sifat
Yakjuj dan Makjuj ini tidak sah dari segi sanadnya. Secara umumnya kini
para pengkaji berpegang pada prinsip bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah
manusia, anak-anak Adam, dari keturunan Yafith bin Nuh a.s. Sheikh Abdul
Karim Khatib menyatakan bahawa tidaklah diketahui sama ada Yakjuj dan
Makjuj punya perbezaan ketara dari sudut tubuh, mungkin ada kelainan
dari segi warna kulit, akhlak dan adat, tapi mungkin dari sudut kekuatan
dan membentuk kerajaan.
Menurut hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abu
Hatim dan Ibnu Mardhawiyyah melalui Ibnu Amru bin Aus daripada datuknya,
bahawa Yakjuj dan Makjuj ini berjima’ secara bebas dengan perempuan
dari kalangan mereka (maksudnya mereka menjima’ sesuka hati) dan ikatan
perkahwinan mereka dibentuk mengikut kehendak mereka sendiri. Ibnu Hajar
berkata bahawa di kalangan Yakjuj Makjuj ada yang mahir dalam sektor
perkilangan, pemerintahan dan sebagainya, dan anggota kerajaan serta
rakyat amat patuh kepada ketua. Ibnu Hajar juga berpendapat bahawa
mereka mempunyai pokok-pokok dan tanaman-tanaman dan juga
peralatan-peralatan.
Berapa ramaikah bilangan Yakjuj dan Makjuj?
Ada yang berpendapat bahawa jika dirujuk pada Surah Al-Anbiya’ Ayat 96,
ternyata bahawa Yakjuj dan Makjuj turun dalam keadaan laju dari tempat
yang tinggi dan keadaan mereka (kelajuannya) adalah seperti serigala
berjalan. Dan jelas bahawa ayat itu menunjukkan jumlah mereka adalah
ramai. Diriwayatkan oleh Al-Hakim dan Ibnu Mardhawiyyah melalui Abdullah
bin Amru, juga diriwayatkan oleh Abdu bin Hamid melalui sanad sahih
daripada Abdullah bin Salam: “Sesungguhnya (Yakjuj dan Makjuj) daripada
zuriat Adam dan di belakang mereka ada tiga umat, tidak mati di kalangan
mereka melainkan meninggalkan lebih daripada seribu zuriat. Dari
Tabrani dan Ibnu Mardhawiyyah dan Al-Baihaqi dan Abdu bin Hamid daripada
Ibnu Umar: “Dinamakan (Yakjuj dan Makjuj) kepada tiga umat: Tawil,
Taris dan Mansik”. Imam Al-Alusi berpendapat bahawa Yakjuj dan Makjuj
mempunyai umur yang paling panjang. Ibnu Kathir telah berkata bahawa
bilangan mereka tidak dapat ditetapkan, tetapi pasti jumlah mereka
sangat ramai.
Apakah jenis kerosakan yang dilakukan oleh
Yakjuj dan Makjuj? Sesetengah ulama berpendapat bahawa mereka ini
melakukan kerosakan dan keganasan dengan menerkam ke atas mangsanya
seperti binatang yang merangkak, liar dan ganas. Mereka juga memakan
ular, kala dan semua yang bernyawa. Al-Kalbi berpendapat: “Mereka ini
keluar ke bumi pada musim bunga dan memakan semua yang dijumpainya sama
ada yang hijau atau yang kering. Mereka juga membawanya masuk ke dalam
bumi. Dan sesiapa yang berjumpa dengan mereka nescaya akan disiksa dan
dibunuh.” Sesetengah ulama lain berpendapat bahawa mereka memakan
manusia dan merosakkan apa yang ada di bumi setelah mereka keluar.
Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa Yakjuj
dan Makjuj adalah orang Mongol. Syed Qutub seorang pengkaji Islam yang
masyhur berpendapat bahawa ada kemungkinan Yakjuj dan Makjuj adalah
orang Mongol, kerana itulah orang Mongol dan Tartar mengganas serta
membuat kebinasaan di Timur. Doktor Abdul Halim berpendapat bahawa
Tartar adalah nama bagi bangsa yang berlainan petunjuk dengan sebab
berlainan masa, tapi Thomson berpendapat bahawa Tartar merupakan nama
yang digelarkan ke atas bangsa Mongol atau satu puak daripada mereka,
dan bukan ke atas bangsa Turki. Thomson juga berkata bahawa orang-orang
Turki telah keluar dari Mongolia sebagai jalan penyelesaian, dan tempat
mereka diganti oleh orang-orang Mongol. Setengah dari kaum Tartar telah
berpakat dengan puak Turki ketika keluar dari Mongolia dan berpindah
bersama dari Asia Tengah menuju ke arah barat. Ibnu Al-Athir
menggelarkan “At-Taiman” terhadap nenek-moyang Genghis Khan, dan mereka
ini dianggap nenek-moyang bangsa Tartar. Ternyata bahawa bangsa yang
asalnya berketurunan Mongol dan bertutur bahasa Mongolia adalah Tartar.
Nama Mongol dan Mongolia mula digunakan secara rasmi oleh Genghis Khan.
Imam Al-Qasimi juga berpendapat bahawa mereka adalah orang Mongol dan
Tartar.
Persoalan mengenai siapakah Yakjuj dan
Makjuj juga telah mendapat perhatian dan telahpun dikaji dengan
terperinci oleh sarjana-sarjana Islam. Secara ringkasnya, ada yang
berpendapat bahawa kaum ini adalah bangsa Mongol dan Tartar yang memang
terkenal ganas dan telah menyerang dan menakluki sebahagian besar muka
bumi, dan kaum Mongol jugalah yang telah mengalahkan kerajaan Abasiyyah
dan menghancurkan Baghdad sekitar kurun ke 12. Bangsa Mongol ini
dikatakan membunuh manusia dengan kejam dan merosakkan apa yang mereka
temui dalam siri penaklukan mereka. Bangsa ini jugalah yang menyebabkan
Shih Huang Ti membina Tembok Besar China, dan kerja hebat itu disambung
oleh raja-raja yang kemudian. Ada mungkin telah tahu nama-nama Genghis
Khan, Kublai Khan dan Hulagu. Mereka ini adalah antara raja-raja Mongol
yang terkenal dalam sejarah.
Doktor Al-Butiy berkata “Apa yang dikatakan
oleh sesetengah mereka hanyalah merupakan satu pendapat atau ijtihad
semata-mata bahawa (Yakjuj dan Makjuj) adalah orang-orang Tartar dan
Mongol..” Ada pendapat yang menyatakan bahawa kaum Yakjuj dan Makjuj ini
adalah dari bangsa Yahudi atau beragama Yahudi. Kaum Yahudi dikatakan
pernah menduduki kawasan timur dan kemudiannya berpindah ke Eropah
melalui Dariel Pass yang berada di banjaran gunung Caucasus. Dalam
sebuah artikel oleh Colonel R.G. Pearse berjudul The National Message,
banyak bukti telah dikemukakan bahawa kabilah Yahudi telah melalui
kawasan Pergunungan Caucasia masuk ke Eropah pada kurun-kurun awal
sebelum kelahiran Nabi Isa a.s. Colonel Pearse dikatakan telah tinggal
di kawasan ini beberapa tahun. Ada dua jalan melalui gunung-ganang
Caucasia ini. Satu darinya bernama Jalan Georgia, dan satu lagi adalah
denai keldai, pada masa silam jalan ini dikenali sebagai “Lorong (Bani)
Israel”. Diceritakan bahawa bila 10 kabilah (Bani) Israel berpindah dari
Guta di Media ke Arsareth, mereka (dalam bilangan yang ramai) perlu
melalui banjaran Caucasia ini. Banjaran ini panjangnya beratus batu..
Mereka kemudiannya sampai ke (kaki) Gunung Kazbek, kemudian masuk ke
siri gaung yang berbatu-batu, yang dinamakan Gaung Dariel, atau Gaung
Darius… Kemudian melepasi kaki bukit, hingga muncul di dataran Eropah di
Gerbang Caucasus.
Saya berpendapat bahawa walaupun kabilah
Yahudi ini dikatakan telah berpindah melalui Lorong Dariel, belumlah
dapat dipastikan sama ada mereka ini telah berpindah kesemuanya sebelum
Tembok Zulkarnain dibina. Dan satu perkara lagi, hingga masa kini pun,
sebenarnya Lorong Dariel boleh dilalui oleh sesiapa yang mengikut jalan
di atas bumi. Maksud saya ialah, setakat yang saya faham, Tembok
Zulkarnain itu dibina untuk mengepung kaum Yakjuj dan Makjuj dari keluar
ke atas muka bumi, bukan mengepung dari satu kawasan atas bumi ke satu
kawasan yang lain. Kemungkinan bahawa sebahagian dari kaum Yahudi inilah
yang dinamakan kaum Yakjuj dan Makjuj dan mereka telah melakukan
kerosakan yang besar di muka bumi mengatasi bangsa Mongol tapi
kebanyakan dari peristiwa itu telah “dipadamkan” dari sejarah oleh
bangsa Yahudi yang berada di atas bumi. Saya berpendapat demikian kerana
antara banyak bangsa-bangsa di dunia ini, bangsa Yahudi adalah bangsa
yang dianggap paling bongkak, kejam dan tidak berperi-kemanusiaan.
Mereka ini menganggap bangsa-bangsa lain seperti binatang ternak yang
“halal” disembelih. Lihatlah apa yang telah mereka lakukan ke atas
rakyat Palestin pada masa sekarang.
Dalam kitab Al-Badu Wa At-Tarikh: “Semua
ulama berpendapat bahawa Yakjuj dan Makjuj tinggal di sebelah timur muka
bumi.” Imam Al-Masudi berkata: “Mereka tinggal di bandar terpencil di
sebelah timur jauh diantara sempadan negara China dan di hujung
Mongolia. Di situ Iskandar Zulkarnain telah membina sebuah tembok yang
besar bagi menyekat Yakjuj dan Makjuj daripada keluar ke muka bumi untuk
membuat kerosakan.” Tantawi Jauhari berkata: “Di dalam risalah-risalah
terdahulu yang dikarang sekitar kurun ke 3 dan ke 4 telah menjelaskan
bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah penduduk yang berada di sudut yang maju
di utara China. Dihadkan negara mereka sekitar 27 darjah ke utara hingga
50 darjah. Negara ini sekarang merupakan bahagian yang besar di China
dan ianya (lokasinya) sekarang merupakan ibu negaranya iaitu Beijing.”
DI MANAKAH TEMBOK ZULKARNAIN?
Persoalan ini pun telah mendapat perhatian
dari para sarjana Islam. Ramai yang telah mengkajinya dengan terperinci.
Malah ada ekspedisi-ekspedisi silam yang telah dilakukan untuk mencari
di mana letaknya tembok tersebut. Untuk mengelakkan dari menulis terlalu
panjang, saya ringkaskan di sini bahawa setakat ini seolah-olah
terdapat satu persetujuan bahawa lokasi Tembok Zulkarnain sudah ditemui.
Saya telah melakukan carian demi carian untuk mendapatkan foto Tembok
Zulkarnain tetapi masih gagal. Namun begitu, dalam artikel ini saya
paparkan kawasan lokasi Tembok Zulkarnain untuk kita sama-sama
renungkan.
Kawasan yang dipercayai terletaknya tembok
Zulkarnain berada di Utara Georgia, selatan Rusia, iaitu di banjaran
Gunung Caucasus (bahagian tengah Greater Caucasus Mountains), iaitu di
kaki Gunung Kazbek. Kawasan ini dikenali sebagai Lorong Dariel atau
Daryal (Dariel Pass, ketinggiannya ialah 3,950 kaki atau 1,204 meter
dari aras laut). Kedudukannya berhampiran dengan Sungai Terek. Terdapat
satu jalan tentera Georgia yang merentasi lorong ini (ini baru saja
dibina oleh Rusia tahun 1850′an) dan sejak zaman silam ianya terkenal
sebagai lorong yang dilalui untuk tujuan menjajah. Pada zaman silam,
Lorong Dariel ini juga dikenali sebagai Gerbang Alan, atau Gerbang
Caucasia, atau Gerbang Iberia.
Al-Marhum Abul Kalam Azad pun menyatakan
begitu. Beliau mengakui bahawa di Georgia terdapat satu timbunan besar
tembok yang dibuat daripada besi bercampur tembaga di Bukit Qawqaz
(Caucasian Mountain) di suatu kawasan yang sempit iaitu antara dua bukit
Darial (Dariel). Keadaan bukit itu curam memanjang dari Laut Hitam
hingga Laut Qazwain. Ianya menghubungkan antara dua laut ini. Panjangnya
1,200 kilometer. Bukit Darial ini secara umumnya masih tidak terusik,
masih teguh, mempunyai bentuk berlapis-lapis. Di sana ada suatu timbunan
yang tinggi daripada besi tulen bercampur tembaga tulen di Tembok
Darial. Ia adalah merupakan suatu hasil kerja menyumbat satu lubang yang
ada di situ. Penduduk-penduduk tempatan takut untuk mengusik atau
mengubahnya. Hanya perubahan semulajadi saja yang berlaku di situ.
Terdapat proses penerokaan tanah berlaku di sebelah-menyebelah tembok
itu, tapi tidak menjejaskan tembok itu sendiri. Ini menyebabkan wujudnya
ruang-ruang kosong antara batu-batu bukit dan Tembok Zulkarnain, yang
masih kukuh hingga sekarang. Nampaknya manusia di atas muka bumi pun
tidak mampu untuk melubanginya mahupun mendakinya.
Banjaran Gunung Caucasia merupakan satu
rekahan (fracture, sebagaimana “geological fault-line”), dan ia adalah
pembahagi bukan saja dari sudut geografi dan budaya etnik, malah juga
dari sudut geopolitik. Terdapatnya kaum yang ganas dan membuat kerosakan
(bangsa Monggol) di sebelah utara menyebabkan Tembok Besar China telah
dibina, begitu juga Tembok Hadrian (Roman Limes). Ada yang berpendapat
bahawa Gerbang Caucasia dibina untuk melindungi Timur Tengah (dari kaum
nomad bangsa Eurasia).
Gerbang Caucasia juga sering disebut sebagai
“Pillars, Stronghold” atau “Iron Gate of Alexander The Great” oleh
penulis-penulis klasik. Barat juga menganggap bahawa Tembok Zulkarnain
(Gerbang Caucasia) ini dibina untuk mengepung Gog dan Magog dari
melakukan keganasan dan kerosakan yang lebih banyak. Pada hari ini,
lambang Georgia (matahari, bulan dan lima bintang) kononnya adalah
sempena lambang Iskandar (Zulkarnain).
Kawasan pergunungan Caucasus ini agak unik.
Di sini terdapat 62 bahasa yang dituturkan oleh 5 keluarga besar,
budayanya juga berbagai. Kawasan ini juga terkenal sebagai kawasan yang
selalu berlaku peperangan antara kaum, pertumpahan darah dan peperangan
kolonial sejak zaman berzaman. Lorong Dariel (tempat Tembok Zulkarnain)
berada di kaki Gunung Kazbek (5033m/16,800′) dan Elbrus (5642m/18,800′).
Kedua-dua gunung ini adalah gunung berapi yang aktif tapi sudah tidak
meletup sejak 500 tahun lampau, menyebabkan penduduk tempatan menganggap
ianya gunung berapi yang sudah mati.
Saya telah membuat beberapa siri carian di
Internet, dan telah terjumpa antara bukti-bukti bahawa penduduk silam di
kawasan ini mempunyai teknologi yang tinggi. Di kawasan Caucasia ini
banyak ditemui batu-batu besar yang disusun (megaliths) yang dipercayai
merupakan kepuk kubur (dolmens). Batu-batu ini telah dipotong rapi
(high-precision) dan di batu tengahnya telah ditebuk satu lubang bulat.
Kehalusan ukiran pada batu adalah amat tinggi, dianggap sehalus
kemahiran pengukir permata (jeweller).
KESIMPULAN
Pada hemat saya kaum Yakjuj dan Makjuj ini
mempunyai teknologi yang tinggi (mungkin yang diwarisi dari kaum yang
telah musnah ketika taufan Nuh a.s.) dan masih membangunkan teknologinya
hingga saat ini. Mengenai siapakah mereka ini sebenarnya, sama ada
Mongol atau Tartar atau dari keturunan Yahudi adalah pendapat-pendapat
yang hingga kini belum dapat disahkan. Mengenai di manakah Yakjuj dan
Makjuj sekarang ini, saya berpendapat bahawa mereka ini terkepung di
bawah bumi, bukan di atas bumi dan bukan pula di dimensi yang lain.
Bolehlah diputuskan bahawa mereka ini adalah anak-anak Adam dan
ciri-ciri mereka adalah sebagaimana manusia di atas muka bumi juga. Para
sarjana Islam telah menolak kemungkinan bahawa mereka ini berupa
seperti binatang atau berbentuk ganjil dan hodoh.
Satu perkara yang elok dicatat ialah ada
sarjana berpendapat bahawa pada akhir zaman nanti kaum Yakjuj dan Makjuj
ini keluar dari banyak tempat, bukan hanya dari Tembok Zulkarnain yang
telah ditebuk. Keadaan mereka keluar itu ialah secara pantas,
berpusu-pusu atau berlumba-lumba, iaitu suatu keadaan keluar dari tempat
yang sempit. Saya berpendapat bahawa pada akhir zaman mereka ini akan
meluru keluar dari tempat yang tinggi mungkin bermaksud bahawa mereka
keluar dari kawasan pergunungan, bukan saja dari pergunungan Caucasus
(Tembok Zulkarnain) tapi kawasan-kawasan tinggi yang lain seperti
Himalaya. Kemungkinan mereka juga menebuk bekas kawah gunung berapi yang
telah mati juga tidak mustahil. Apa pun, ini hanyalah pendapat saya
yang serba tidak tahu. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui agaimanakah
keadaan Yakjuj Makjuj kini dan ketika ia keluar nanti.
Berita kaum Yakjuj dan Makjuj dan berita
Zulkarnain wajib dipercayai oleh seluruh umat Islam kerana ianya secara
jelas termaktub dalam Al-Qur’an. Kerana itu jugalah ulama Islam bukan
saja telah meneliti berbagai sumber hadis, malah telah menghujahkan
pendapat mereka dengan panjang lebar. Kajian demi kajian yang telah
dilakukan sebelumnya telah dikaji semula oleh sarjana yang kemudian
dengan teliti sekali. Begitulah sikap pengkaji Muslim sejak dari zaman
kegemilangan Islam lagi. Sepatutnya sikap ini dapat diteruskan oleh
sarjana Muslim zaman ini dan seterusnya zaman berzaman. Walaupun
identiti Zulkarnain dan juga identiti Yakjuj dan Makjuj belum lagi
bertemu kata putus, sebenarnya usaha-usaha para pengkaji mempunyai
hikmah yang amat besar. Mereka telah menyingkap kembali sejarah
kegemilangan banyak empayar silam dan ini telah didokumenkan untuk
tatapan generasi kemudian. Pada hemat saya, kisah Yakjuj Makjuj dan
Zulkarnain dalam Al-Qur’an adalah salah satu dari mukjizat Al-Qur’an itu
sendiri. Ianya satu berita misteri besar yang mendorong banyak pengkaji
untuk melakukan kajian demi kajian, secara berterusan zaman-berzaman
selagi jawapan yang pasti belum ditemui. Umat Islam perlu memperhatikan,
menyelidik dan mengkaji untuk menjadi umat yang hebat dan kaya dengan
ilmu pengetahuan. Dan jangan lupa, itu semua pun adalah atas rahmat
Allah Yang Maha Bijaksana.
Semoga Allah menambahkan ilmuNya kepada kita semua. InsyaAllah.
Wallahua’lam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar