Alhamdulillah, ini adalah antara artikel yang sempat saya kirimkan dan kiriman yang ulung kali dalam tahun ini (2013) dalam merungkai sebuah misteri lama di zaman nabi Allah Sulaiman as. Isu Haikal Nabi Sulaiman pernah saya kupaskan sebelum ini dalam sebuah artikel saya yang bertajuk “Keruntuhan Al Aqsa Petanda Awal Kiamat“,
saya tergerak untuk mengkaji sejarah misterinya sebagai satu bahan
ilmiah yang mungkin boleh dikongsikan bersama kepada semua pembaca.
Sesungguhnya Sejarah Haikal Sulaiman bermula di Baitulmaqdis dan
merupakan sebuah kota yang terletak di dalam wilayah Palestin dan
diiktiraf sebagai kota ketiga paling suci bagi umat Islam selepas Mekah
dan Madinah. Dalam kalangan masyarakat antarabangsa, kota ini lebih
dikenali dengan nama Jerusalem yang bermaksud ‘tempat yang aman untuk didiami’.
Catatan sejarah menunjukkan kota ini
telah diduduki manusia selama sekitar 5,000 tahun sekaligus merupakan
antara kota yang tertua di dunia dan masih dihuni sehingga sekarang.
Kota ini merupakan tempat pertembungan antara tiga agama samawi iaitu
Islam, Yahudi, dan Kristian bahkan setiap agama mempunyai kawasan
masing-masing di sekitar kota lama yang mengelilingi sebuah tanah tinggi
yang terkepung dengan tembok yang tinggi lagi kukuh.
Masyarakat dunia menamakan kawasan tanah tinggi ini sebagai ‘Mount Temple’
disebabkan sejarahnya yang pernah menempatkan kuil Yahudi kuno iaitu
dipanggil juga sebagai Haikal Sulaiman sebelum ia dimusnahkan, dibina
semula dan sekali lagi dimusnahkan selepas kota ini dijajah oleh
kerajaan-kerajaan yang berbeza.
Mengikut catatan sejarah, umat Islam pada
era awal Islam dahulu menggelarkan kawasan di mana terletaknya ‘Mount
Temple’ sebagai Madinah Baitulmaqdis yang membawa erti ‘City
of the Temple’ yang mengambilkira akan kewujudan Haikal Nabi Sulaiman
A.S yang menjadi tempat ibadat pertama kaum Yahudi sebelum dimusnahkan
oleh orang Babylon pada tahun 586 sebelum Masihi.
Selepas kemusnahan pertama itu, Haikal
ini dibina semula kira-kira selepas 70 tahun kemusnahan pertamanya
apabila orang Babylon berjaya diusir, namun ia diruntuhkan kembali pada
tahun 70 Masihi oleh Empayar Roman. Manakala kawasan kota yang wujud di
sekeliling ‘Mount Temple’ ini dipanggil Iliya, berasal
daripada nama ‘Aelia Capitolina’ yang diberikan semasa penjajahan orang
Roman. Kawasan ‘Mount Temple’ pada asalnya agak tinggi dengan keadaan
yang tidak rata tetapi pada tahun 19 sebelum Masihi, pemerintah ketika
itu iaitu Herod the Great telah membina tembok tinggi mengelilingi
kawasan ini lalu meratakan permukaannya di dalam kawasan tembok
sepertimana keadaan sekarang.
Selepas pengislaman Kota Baitulmaqdis
yang bermula ketika zaman khalifah Umar al-Khattab, nama ‘Mount Temple’
telah ditukarkan kepada Haram al-Sharif yang
menggambarkan kedudukan kawasan suci ini yang mendapat tempat yang mulia
di dalam Islam sementara kota disekitarnya inilah dinamakan
Baitulmaqdis.
Pada Zaman Khalifah Sulaiman iaitu salah
seorang khalifah di dalam era Turki Uthmaniyyah, beliau telah membina
semula dinding seakan-akan sebuah tembok di sekeliling kota
Baitulmaqdis. Sekarang ini Baitulmaqdis yang asal dirujuk sebagai kota lama
Baitulmaqdis iaitu kawasan yang dikepungi tembok tadi. Di kota inilah
terletaknya Masjid al-Aqsa yang telah disebut di dalam kitab suci
al-Quran dan al-Hadis yang mana beribadat di dalamnya mendapat seribu
ganda pahala berbanding di tempat-tempat lain.
Masjid al-Aqsa di dalam bahasa Arab bermaksud ‘masjid yang jauh’,
merujuk pada jaraknya yang berjauhan daripada bumi Mekah yang
menempatkan Masjid al-Haram. Di sini juga menjadi tapak kepada salah
satu peristiwa terpenting di dalam Islam iaitu Isra’ dan Mikraj yang
mana ketika itu, Nabi Muhammad S.A.W telah dinaikkan ke langit untuk
menghadap Allah S.W.T. Baitulmaqdis juga menjadi kiblat pertama umat
Islam sebelum berpindah ke Mekah, iaitu kira-kira selama enam belas
bulan. Kedua-dua peristiwa besar Islam ini iaitu pembinaan Masjid
al-Aqsa dan peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku di atas tapak Haram al-Sharif.
Selain itu, Masjid Kubah Batu turut
dibina berdekatan dengan Masjid al-Aqsa dan telah dibina pada zaman
pemerintahan Khalifah Abdul Malik semasa era Bani Umayyah. Diriwayatkan
senibina masjid ini yang begitu indah dengan kubah berwarna keemasannya
yang menonjol adalah untuk menyaingi kehebatan senibina gereja-gereja di
sekitar Baitulmaqdis yang menjadi tumpuan ramai pelawat. Kini Masjid
Kubah Batu menjadi antara monumen tertua orang Islam yang sangat
dikenali.
Masjid ini mendapat namanya berikutan
dipercayai didirikan di atas tapak batu terapung yang terjadi ketika
peristiwa Isra’ dan Mikraj. Ironinya batu ini juga dianggap suci oleh
penganut Yahudi disebabkan kepercayaan bahawa ia merupakan pusat bagi
‘Mount Temple’ dan dianggap sebagai asas untuk pembinaan kuil mereka
satu masa nanti.
Tetapi menurut catatan sejarah ketika
Khalifah Umar al-Khattab r.a yang bertanggungjawab menjadikan
Baitulmaqdis sebagai salah sebuah wilayah Islam, setibanya di kota ini
beliau lalu bertanyakan mengenai batu yang menjadi tempatnya Baginda
Rasul dinaikkan ke langit, lalu ditunjukkan oleh penduduk kota pada
sebuah batu terbiar di atas tanah tinggi yang dikepungi oleh tembok.
Lebih malang apabila kaum Yahudi mengotorkan kawasan itu dengan najis
dan sampah sarap sebagai tanda penghinaan kepada lokasi peristiwa Isra’
Mikraj itu. Khalifah Umar membersihkan kawasan itu bersama-sama dengan
orang Mukmin yang lain dan membina Masjid al-Aqsa buat kali pertamanya di bumi Baitulmaqdis itu
Masyarakat Yahudi menganggap Haikal
ketiga dan sepatutnya menjadi yang terakhir seharusnya dibangunkan di
atas lokasi yang sama iaitu Haram al-Sharif bahkan perkara yang sama
turut dicatatkan di dalam kitab Injil. Perebutan tapak suci inilah yang
menjadi teras konflik antara Islam dan Yahudi selanjutnya menjadikan
kawasan suci ini sebagai tempat krisis yang masih belum selesai sehingga
sekarang.
Salah satu tembok yang mengelilingi Haram al-Sharif ini,
iaitu tembok di bahagian barat ataupun ‘Western Wall’ ini menjadi
tempat suci bagi penganut Yahudi. Tembok yang dibina lebih daripada
2,000 tahun yang lampau ini merupakan satu-satunya bahagian Haikal
kedua mereka yang masih wujud. Mereka menganggap Tuhan mereka berada di
sebalik tembok itu dan pandangan mereka terhalang disebabkan dosa-dosa
yang telah mereka lakukan. Oleh kerana itu lokasi ini menjadi tempat
mereka beribadat dan meratap di atas dosa-dosa yang mereka lakukan dan
amalan ini masalah berlangsung sehingga sekarang ini, susulan dengan itu
kadang-kadang tembok ini juga dirujuk sebagai ‘Wailing Wall’ ataupun
tembok ratapan.
Mengikut agama Kristian pula,
Baitulmaqdis juga mendapat kedudukan yang mulia dan dianggap sebagai
tanah suci mereka. Nabi Isa A.S yang dilahirkan di Baitullaham iaitu
sebuah bandar yang berhampiran dengan Baitulmaqdis terus dibawa ke
Baitulmaqdis sebaik sahaja dilahirkan. Semasa remajanya, penganut
Kristian percaya bahawa Nabi Isa A.S pernah berkhidmat untuk mencuci
Haikal kedua yang pada ketika itu masih tertegak utuh di Baitulmaqdis.
Selain itu juga, peristiwa penyaliban dipercayai berlaku di dalam
kawasan Baitulmaqdis tetapi lokasi yang tepat masih lagi menjadi
pertikaian sarjana-sarjana Kristian.
Pendapat yang paling diterima ramai
adalah peristiwa itu berlaku pada tapak di mana tertegaknya sebuah
gereja yang dianggap paling suci oleh penganut Kristian iaitu Gereja
‘Holy Sepulchre’, salah sebuah gereja di dalam kawasan kota lama. Di
sini juga dianggap sebagai lokasi orang yang mereka percayai sebagai
Nabi Isa A.S dimakamkan. Kota Baitulmaqdis sehingga kini masih menerima
pengunjung Kristian yang ramai dari seluruh dunia terutamanya menjelang
musim Easter.
Perang Salib yang berlaku pada 1099
Masihi juga menunjukkan keazaman penganut Kristian untuk menawan tanah
suci ini daripada penguasaan orang Islam dan mereka telah berjaya
menduduki kota ini selama kira-kira 200 tahun sehinggahlah kota ini
dibebaskan oleh panglima Islam yang unggul iaitu Salahuddin al-Ayubbi
pada tahun 1187 Masihi. Diriwayatkan bahawa ketika tentera salib dihalau
sepenuhnya dari kota, Salahuddin al-Ayubbi sendiri yang membersihkan
Masjid al-Aqsa yang dijadikan kandang kuda oleh tentera salib, manakala
Masjid Kubah Batu yang dijadikan sebagai gereja dikembalikan fungsinya
sebagai sebuah masjid.
Penguasaan orang Islam berterusan
sehinggalah ke akhir zaman Khalifah Uthmaniyyah yang menyaksikan
Baitulmaqdis dikuasai oleh British sehinggalah mandat penguasaan itu
tamat. Kewujudan negara Israel pada tahun 1948 menyaksikan peperangan
antara Arab dan Yahudi berlaku untuk menguasai wilayah Palestin yang
ketika itu dibahagikan secara berat sebelah oleh badan dunia PBB.
Penduduk Arab yang mewakili dua pertiga
diperuntukkan hanya sepertiga kawasan sementara sepertiga Yahudi
mendapat selebihnya tanah Palestin. Ketika itu PBB mengisytiharkan
Baitulmaqdis sebagai wilayah antarabangsa tetapi pertempuran tentera
Israel dan Arab menyebabkan bahagian barat kota jatuh ke tangan Yahudi
dan diisytiharkan sebagai ibu kota negara Israel tetapi tidak diiktiraf
oleh dunia.
Bahagian timur Baitulmaqdis dikuasai oleh negara Jordan, termasuklah kawasan kota lama Baitulmaqdis ini. Sehingga waktu ini, Haram al-Sharif merangkumi keluasan hampir seperlima daripada keluasan kota lama Baitulmaqdis masih dikuasai oleh orang Islam.
Kota lama Baitulmaqdis terbahagi kepada
empat bahagian. Bahagian pertama adalah bahagian orang Islam iaitu
bahagian yang terbesar antara kesemua bahagian, Kompleks Haram al-Sharif
adalah sebahagian daripada kawasan orang Islam. Bahagian kedua adalah
bahagian Yahudi dan selebihnya merupakan bahagian Kristian dan bahagian
Kristian Armenia, iaitu bahagian yang paling kecil antara semua.
Walaupun Orang Armenia juga merupakan penganut Kristian, tetapi mereka
mendapat kawasan mereka sendiri di dalam kota dan bilangan mereka juga
hanya kecil jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan lain. Ketika
Jordan menguasai kota lama, penganut Yahudi tidak dibenarkan beribadat
di sekitar ‘Western Wall’ ataupun tembok ratapan itu dan
kebanyakan tempat ibadat Yahudi ditutup dan sebahagian bahagian orang
Yahudi di kota lama turut menempatkan penduduk Arab yang menjadi
pelarian akibat wilayah mereka dirampas oleh Israel.
Tetapi perang pada tahun 1967 merubah
lanskap kota ini sampai sekarang. Penglibatan Jordan di dalam perang
negara-negara Arab dengan Israel menyebabkan bahagian timur kota ini
jatuh ke tangan Yahudi, lebih teruk apabila wilayah Palestin yang
selebihnya turut jatuh bersama sehinggalah ke Tebing Barat Sungai
Jordan. Mesir pula kehilangan Semenanjung Sinai dan Genting Gaza
sementara Syria terlepas Tanah Tinggi Golan.
Bermulanya kejatuhan Baitulmaqdis ini
menyaksikan banyak pencabulan dilakukan oleh bangsa Yahudi ke atas
Baitulmaqdis. Antaranya menjadikan kawasan ‘Western Wall’ sebagai tapak
ibadat mereka selain pembinaan penempatan haram Yahudi yang mengelilingi
kejiranan Arab di dalam usaha memastikan kota ini didominasi secara
penuh oleh Yahudi. Penempatan masyarakat Yahudi turut dibina di dalam
bahagian orang Islam.
Rumah-rumah penduduk Palestin dirampas
dan digantikan dengan perumahan Yahudi. Lebih teruk lagi apabila
kerajaan Israel meluluskan akta yang menggabungkan timur dan barat
Baitulmaqdis sebagai satu kota dan menjadi ibu kota Israel yang rasmi
menggantikan Tel Avivyang sebelum ini
menempatkan kedutaan-kedutaan asing. Pejabat Presiden dan Perdana
Menteri, kediaman Presiden dan Perdana Menteri, bangunan Parlimen,
Mahkamah Agung dan kementerian-kementerian Israel semuanya dipindahkan
ke Baitulmaqdis secara beransur-ansur.
Masjid al-Aqsa juga beberapa kali telah
dicabuli termasuklah dibakar oleh fanatik Yahudi sehingga membawa
kemusnahan mimbarnya. Paling diingati adalah peristiwa yang berlaku pada
tahun 2000, lawatan penuh provokasi Perdana Menteri Israel ketika itu
iaitu Ariel Sharon ke kompleks Haram al-Sharif. Untuk
rekod, Ariel Sharon terlantar koma akibat serangan strok semasa masih
bertugas sebagai Perdana Menteri pada tahun 2006 dan masih tidak
sedarkan diri.
Perlu diingatkan bahawa walaupun Israel
menguasai kota ini secara total namun pengawalan kompleks Haram
al-Sharif diberikan kepada badan Islam sebagai kawasan wakaf dan juga
Raja Jordan dianggap sebagai penjaga Masjid al-Aqsa. Bendera negara
Israel juga tidak dibenarkan dikibarkan di sekitar Haram al-Sharif.
Penganut agama lain juga dilarang memasuki kompleks suci ini dan
askar-askar serta polis Israel berkawal di pintu masuk dan pengunjung
mesti membuktikan mereka ini adalah Islam sebelum memasuki kompleks
untuk beribadat. Langkah ini diambil bagi mengelakkan terjadinya
pertikaian seterusnya membawa kepada pertumpahan darah memandangkan
lokasi ini amat sensitif bagi semua penganut agama samawi.
Namun sampai bilakah langkah ini
berterusan menjadi tanda tanya memandangkan sikap kerajaan zionis Israel
sendiri yang suka melakukan provokasi ke atas penduduk Palestin dan
pengyahudian Baitulmaqdis bukan lagi sesuatu agenda yang rahsia.
Hari ini, Kota Baitulmaqdis masih berada
di bawah kekuasaan bangsa Yahudi yang menyimpan impian untuk meruntuhkan
Masjid al-Aqsa yang mahu digantikan dengan Haikal ketiga mereka yang
dipercayai menjadi Haikal terakhir mereka, malahan mereka bertungkus
lumus melakukan aktiviti carigali di sekitar kompleks Haram al-Sharif untuk menguatkan dakwaan pemilikan mereka ke atas kawasan suci itu sebelum terbinanya masjid-masjid di atasnya.
Mengikut berita yang tersebar luas,
mereka melakukan penggalian di bawah tapak masjid sehingga meletakkan
Masjid al-Aqsa dan Masjid Kubah Batu di dalam risiko keruntuhan akibat
aktiviti yang kononnya berlandaskan kerja-kerja arkeologi itu. Kaum
Yahudi kelihatan begitu teruja untuk merealisasikan pembinaan Haikal
Sulaiman mereka itu, bagi mereka pembinaan itu adalah sesuatu yang
menjadi tuntutan agama mereka dan perlu dilaksanakan, yang menjadi
persoalan hanyalah bila Haikal Sulaiman itu akan dibangunkan?
Tidak ada komentar:
Posting Komentar